Bakal Nikah Selepas Raya, Pemuda Tenang Jumpa Tunang Syahid Bawah Runtuhan


Kisah seorang penuntut jurusan pergigian tahun 3 di Universiti Al-Azhar, Gaza yang meninggal dunia disebabkan tertimbus dalam runtuhan rumah sememangnya membuatkan ramai hiba.

Mana tidaknya, wanita berusia 21 tahun yang dikenali sebagai Shima Abu Alouf dimaklumkan bakal berkahwin selepas Aidilfitri setelah mengikat tali pertunangan dengan seorang jejaka pada 2019.

Menurut sumber dari Twitter, wanita tersebut yang juga seorang hafizah telah tertimbus selama 14 jam setelah kediamannya di jalan Alwahda, Gaza di bom zionis.

Serangan yang dibuat oleh tentera haram itu turut mengorbankan ibunya dan dua orang anak lelakinya.

Tunang cari 10 jam dengan harapan wanita itu masih hidup

Dalam perkongsian lain di laman Twitter, tunangnya Anas Al-Yaz telah memberitahu mencari Shima Abu Alouf di dalam runtuhan dan berharap agar wanita itu masih hidup.

Akhirnya, pihak penyelamat berjaya menghampiri Shima tetapi sayangnya beliau menghembuskan nafas terakhirnya di bawah runtuhan.

Tunang tenang hantar ke Tanah Perkuburan

Walaupun sudah kehilangan orang tersayang, namun tunang wanita itu tetap tenang menghantar jenazah wanita yang dicintai ke tanah perkuburan dan masih sempat tersenyum menceritakan momen sepanjang pertunangan mereka.

Kisah syahidah berkenaan tular di media sosial dan rata-rata warganet memuji ketenangan tunang wanita tersebut yang begitu tabah menerima berita kematian bakal isterinya.

Semoga Shima Abu Alouf dan ahli keluarganya ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman.

Sumber: Twitter