“Baru nak kenal Islam, kenal Nabi..” – Nabil Ahmad menangis lepas ‘join’ tabligh


Baru-baru ini, tersebar satu video di laman sosial menunjukkan seorang pengacara dan pelawak terkenal, Nabil Ahmad berucap dan berkongsi pengalamannya selepas mengikuti jemaah tabligh selama tiga hari.

Video tersebut mendapat perhatian warganet apabila Nabil menceritakan bagaimana perasaannya dan apa ‘ibrah’ yang diperolehi sepanjang masanya bersama kumpulan berkenaan bagi tujuan untuk fokus beribadah.

 

Menerusi video itu, dia menyatakan perasaan terharu kerana pada usia 37 tahun, dia baru mengetahui suasana beribadah (tahajud, qiamullail dan sebagainya) seperti itu.

Dalam nada sebak, Nabil meluahkan rasa kesal dan sedih kerana dia tidak berbuat sedemikian lebih awal. Malah turut dilihat menangis dan berkata pada usia sebegitu dia baru mula ingin mengenal agama Islam atau tentang kisah-kisah Nabi.

“Suasana ni tak pernah tengok. Tahajud haritu bangun, adik-adik mengaji abang Nabil menangis dekat tempat ambil wuduk sana sorang-sorang.
“Tak pernah tengok, tak pernah tahu ada suasana macam ni. Tak pernah tahu. Bayangkan, umur 37 tahun tak pernah tahu ada suasana macam ini.
“Abang Nabil ni yang baru nak ‘masuk’ Islam, baru nak kenal Islam, baru kenal Nabi. Baru kenal Nabi siapa, baru nak menangis pasal Nabi. Apa Nabi buat dulu, sahabat buat dulu baru Abang Nabil tahu,” luahnya.

Dalam kesempatan itu, pengacara program MeleTOP itu mengakui berasa malu dengan dirinya dalam tempoh tiga hari mengikuti jemaah tabligh berkenaan.

Bagaimanapun, dia turut terharu dan mengatakan tempoh singkat itu juga adalah hari paling bahagia kerana dia diberi peluang untuk mengenal Islam dengan lebih mendalam.

Jatuh cinta dengan jihad dalam menuntut ilmu agama, Nabil berazam ingin menyertai mereka lagi selepas ini untuk tempoh yang lebih lama.

3 hari inilah, hari paling malu dalam hidup saya. Hari pertama saya datang, adik tu baca Surah Nun tu saya malu ustaz. Saya tak pernah rasa semalu ni.
“Saya berazam lepas ni saya keluar 40 hari, lepas tu kita keluar 4 bulan. Doakan abang Nabil, abang Nabil azam bawak kawan-kawan.
“3 hari yang cukup bahagia, cukup hebat untuk abang Nabil. Alhamdulillah,” ujarnya lagi.

Perkongsian Nabil itu meraih pujian warganet yang tersentuh melihat ketulusan hatinya menuntut ilmu tentang agama dan mereka turut mendoakan supaya azamnya dipermudahkan serta kekal istiqamah.

Alhamdulillah, sesungguhnya hidayah milik Allah

Semoga Allah kekalkan Nabil dalam hidayah

Teruskan istiqamah!

Nabil berkahwin dengan bekas pramugari AirAsia, Nazirah Ayub pada 30 September 2011 dan dikurniakan tiga cahaya mata perempuan iaitu Nayla Mikayla, 9, Leyla Medyna, 6, dan Mishall Imani, 2.

Sumber: Facebook Dakwah Tabligh, YouTube BroLahTV