27 Pegawai Imgresen, 14 Ejen Pekerja Asing dan 5 Orang Awam Ditahan SPRM
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melumpuhkan suatu sindiket imigresen dengan penangkapan 46 orang, termasuk 27 pegawai imigresen, kata sumber.
Menurut sumber itu, suspek ditahan di Putrajaya, Selangor, Johor, Sabah, dan Sarawak dalam operasi bersama SPRM dan Jabatan Imigresen, “Ops Selat”.
Selain 27 pegawai imigresen terbabit, 14 ejen pekerja asing dan 5 orang awam yang bertindak sebagai orang tengah ditahan.
Sindiket itu, yang aktif sejak setahun lalu, beroperasi di pintu keluar-masuk utama negara termasuk KLIA, kli2, dan Bangunan Sultan Ismail (BSI) di Johor Bahru.
“Sindiket ini berada bawah radar pemantauan SPRM bermulanya penguatkuasa Perintah Kawalan Pergerakan pada 18 Mac 2020,” kata sumber.
“Aktiviti rasuah dalam kalangan anggota sindiket menjadi lebih rancak sepanjang PKP dikuatkuasakan.”
Sindiket ini memberi khidmat kepada majikan yang mahu pekerja asing mereka terus berada di sini atau pulang ke negara asal.
Sumber menjelaskan sindiket itu mempunyai 2 modus operandi.
Pertama, “pasport terbang” bagi mereka yang datang ke Malaysia menggunakan pas lawatan sosial tetapi bekerja secara haram. Ini, katanya, termasuklah mereka yang bekerja di bar dan rumah urut.
“Ejen akan mengumpul pasport pekerja asing dan bayar pegawai imigresen untuk cop pasport mereka bagi menunjukkan yang mereka sudah keluar negar selepas 3 bulan dan masuk semula secara sah. Dengan cara ini mereka boleh berada di sini untuk 3 bulan lagi.
“Hanya paspot sahaja yang sampai di pejabat imigresen tanpa kehadiran pemilik pasport sebagai pengesahan keluar atau masuk sepertimana yang disyaratkan.”
Kedua, kata sumber, ialah “kaunter setting” bagi pendatang asing yang disenarai hitamkan atas kesalahan imigresen.
“Pendatang asing akan pergi ke ‘kaunter setting’ di KLIA dan bayar sehingga RM6,000 untuk dibenarkan keluar negara walaupun disenarai hitam.”
Pengarah Siasatan SPRM, Norazlan Mohd Razali, mengesahakan tangkapan tetapi enggan mengulas lanjut.